Konsert Antara Dunia di Stadium Malawati, Shah Alam pada 1 Ogos
HAMPIR sedekad kumpulan nasyid Rabbani mengukuhkan label nama mereka di persada seni. Biar kemunculan penyanyi dalam genre yang sama tumbuh bagai cendawan selepas hujan, mereka masih utuh bersaing.
Paling membanggakan, kumpulan nasyid yang cukup dikenali dengan lagu Intifada dan Pergi Tak Kembali ini memahat nama dalam sejarah penganjuran Anugerah Bintang Popular Berita Harian.
Menerusi anugerah itu, kategori Penyanyi/Artis Nasyid Popular setia menjadi milik mereka selama lapan kali berturut-turut. Tidak betah duduk diam dan selesa dengan kedudukan yang ada, Rabbani kini terus rancak merancang program menarik termasuk menganjurkan konsert.
Memilih lokasi yang sama sewaktu terbabit dalam Konsert Malam Sinar Maulidur Rasul Februari lalu iaitu di Stadium Malawati, Shah Alam, sebuah konsert diberi nama Konsert Antara Dunia dijangka dipersembahkan pada 1 Ogos ini bermula jam 8.30 malam.
Bukan sekadar berhibur, konsert atas paksi kemanusiaan dan sarat dengan nilai murni itu dilaksanakan atas tujuan amal bagi mengumpul dana tabung pembangunan insan bagi Gabungan Mahasiswa Islam Malaysia (Gamis).
“Setakat ini, tiket konsert besar kemungkinan akan ditetapkan pada harga RM10 untuk pelajar Institut Pengajian Tinggi. Tiket biasa pula dijual sekitar harga RM30 dan RM50.
“Hasil penjualan tiket nanti akan disalurkan kepada fakir miskin dan anak yatim di Malaysia juga mangsa tsunami di Acheh. Malah, Rabbani dan Gamis berhasrat untuk ke sana menyampaikan dana atas tabung pendidikan itu.
“Jika tiada aral melintang, sepanjang hari itu juga satu karnival akan diadakan bermula pagi hingga ke tengah malam. Kepada yang mungkin berminat untuk berniaga atau membuka gerai jualan boleh menghubungi Shahrul Azhar di talian, 019-2225588,” kata Azadan Abdul Aziz mewakili Rabbani sewaktu dihubungi Hip baru-baru ini.
Persatuan itu turut menjadi rakan kerjasama merealisasikan konsert itu bersama Rabbani Productions. Ketika ini, semuanya masih dalam rangka perbincangan termasuk usaha untuk mendapatkan kumpulan dari seberang, Ungu selain beberapa orang artis tempatan.
“Ini antara kelainan yang kami sedang berusaha untuk tampilkan melalui kolaborasi dengan artis luar. Jika sebelum ini, Rabbani pernah berduet dengan Amy Search, siapa tahu hasrat berduet dengan Ungu pula bakal menjadi kenyataan jika semuanya berjalan dengan lancar.
“Apa yang kami sedang usahakan ini ialah atas maklum balas dan cadangan peminat yang mahu Rabbani bekerjasama dengan Ungu. Tak dinafikan, Ungu juga antara kumpulan yang sering memperjuangkan lagu ketuhanan. Lalu, ruang baru ini dibuka demi kepuasan peminat.
“Pihak kami sendiri sudah berurusan dengan pihak Ungu dan ia berjalan dengan lancar. Cuma, biasalah kita masih menanti kata putus daripada mereka di samping perihal rundingan harga dan sebagainya,” kata Azadan lagi.
Masih merahsiakan konsep persembahan pada malam konsert itu nanti, Rabbani kini mengalu-alukan mana-mana individu atau syarikat yang berminat untuk menjadi penaja konsert terbabit.
Bahkan ketika ini pun produk Permata Hijrah yang baru melamar Rabbani sebagai duta sedang berkira-kira untuk menawarkan diri sebagai penaja. Malah, ada dua tiga syarikat yang berminat nak menjadi penaja pada peringkat permulaan ini.
“Setakat ini 60 peratus persetujuan sudah dicapai antara Permata Hijrah dan Rabbani. Kalau tiada halangan, siapa tahu syarikat ini akan terbuka hati untuk jadi penaja konsert itu.
“Sewaktu Konsert Malam Sinar Maulidur Rasul diadakan, kami bersyukur kerana Telekom Malaysia Berhad (TM) sudi menaja, lalu untuk konsert ini kami masih merisik dan mencari penaja yang berminat,” kata Azadan sambil memberitahu mana-mana syarikat yang berminat mahu menaja dan mengetahui keterangan lanjut mengenai konsert itu boleh menghubunginya di talian, 019-2110300 atau layari laman web, www.rabbani.com.my
Pada masa yang sama, Rabbani turut rancak merancang pakej umrah bersempena cuti sekolah Jun ini. Menariknya juga, 10 orang anak yatim dan tidak bernasib baik daripada Persatuan Kebajikan Anak Pesakit HIV/Aids Nurul Iman Malaysia (Pernim) akan turut serta mengerjakan umrah.
Comments :
0 comments to “~jom kita pi ramai2~”
Post a Comment